mutakhir

Pengangkut kereta perisai terbalik

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

TIGA anggota tentera cedera selepas kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) dinaiki terbabas di Jalan Bukit Putus- Gemencheh - Tampin, dekat Alor Gajah hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, dalam kejadian 4.30 petang itu, dua tentera masing-masing berusia 33 dan 36 tahun cedera kaki manakala seorang lagi berusia 36 tahun cedera di kepala serta kaki.

“Kemalangan berlaku apabila kenderaan pengangkut (KPKP) itu hilang kawalan dipercayai disebabkan jalan licin dan hujan lebat.

“Ia terbabas melanggar penghadang jalan dan tebing bukit di sebelah kiri jalan sebelum terbalik di laluan bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, tiga anggota dalam kenderaan itu dari Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah, Kuala Lumpur cedera dan dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut ” katanya ketika ditemui di lokasi nahas.

Bagaimanapun, kereta perisai Pendekar di atas KPKP itu tidak terjejas.

Difahamkan, ketika kejadian, terdapat sembilan KPKP membawa 12 kereta perisai dalam perjalanan dari Kem Tentera Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan ke Putrajaya untuk persediaan sambutan Hari Kemerdekaan ke-62.

Kejadian itu turut tular di media sosial sejak petang tadi dan tinjauan mendapati laluan dua lorong itu ditutup sepenuhnya bermula 7 malam bagi kerja mengalihkan kenderaan perisai itu.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 9:35pm
d