mutakhir

JPJ keluar 418 notis kesalahan [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEBANYAK 418 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk cermin gelap dalam Operasi Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Bilangan 3/2019 di Plaza Tol Sentul Pasar, di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Kuala Lumpur, malam tadi.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, dalam operasi bermula jam 8 malam tadi yang disertai 42 pegawai dan anggota, sebanyak 956 kenderaan diperiksa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 196 notis dikeluarkan kerana cukai jalan tamat tempoh, 112 notis kesalahan membabitkan lesen, 83 notis bagi cermin gelap, sembilan notis nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, dua notis atas kesalahan cermin sisi dan 16 notis kesalahan lain-lain.

“Kami turut menyita lapan kenderaan termasuk sebuah motosikal dalam operasi,” katanya pada sidang media di lokasi operasi, malam tadi.

Ismail berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada kesalahan cermin gelap memandangkan masih ramai dalam kalangan masyarakat tidak memahami peraturan terbabit.

“Tinjauan dilakukan mendapati masih ramai orang awam tidak mengetahui mengenai peraturan cermin gelap seperti diumumkan kerajaan sebelum ini meskipun banyak kempen advokasi dilakukan termasuk operasi penguatkuasaan yang dilakukan bermula 8 Mei lalu.

“Individu yang didapati melanggar peraturan itu boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan tiada had ditetapkan bagi kadar ketelusan cahaya tampak untuk cermin kiri dan kanan penumpang serta belakang bagi kenderaan persendirian.

Sebelum ini, ketelusan cahaya tampak ditetapkan pada kadar 30 peratus seperti digariskan dalam Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 12:51am
d