mutakhir

Lumpuh pinggang ke bawah

Oleh Adnan Ibrahim

KLUANG: “Dia kini hanya mampu terbaring dan lumpuh dari pinggang ke bawah,” ujar Aishah Daud, 58, yang sedih melihat keadaan anaknya, Mohd Fadli Md Latiff, 36, akibat kemalangan dialami empat tahun lalu.

Kemalangan jalan raya itu mengakibatkan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbabit patah tangan kiri, malah tempurung kanannya terpaksa dibuang menyebabkan kudratnya terbatas.

Aishah berkata, dia terpaksa merayu bantuan orang ramai bagi membiayai kos rawatan susulan anaknya itu.

Menurutnya, Mohd Fadli pernah bekerja sebagai anggota tentera namun berhenti selepas 13 tahun berkhidmat dan bekerja di sebuah kilang pada 2015.

“Dia bagaimanapun terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika pulang bekerja pada Februari 2016.

“Kemalangan itu mengakibatkan tangan kirinya patah serta tempurung kepala kanannya terpaksa dibuang. Akibatnya dia lumpuh dari pinggang ke bawah dan hanya mampu terbaring,” katanya ketika menerima lawatan Kelab Kebajikan Kahang (KKK) diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang, R Vidyananthan di kediamannya di Felda Bukit Tongkat di sini, semalam.

Dalam kunjungan itu, ahli KKK menyerahkan bantuan lampin pakai buang serta wang tunai kepada Aishah bagi membantu meringankan perbelanjaan harian keluarga khususnya berkaitan kesihatan Mohd Fadli.

Aishah berkata, akibat kejadian itu, dia terpaksa memberikan penjagaan sepenuhnya kepada anaknya itu kerana tiada siapa boleh diharapkan.

“Anak saya juga sudah berpisah dengan isteri serta dua anaknya sebelum kemalangan itu berlaku.

“Anak kedua daripada lima beradik ini amat memerlukan bantuan lampin pakai buang selain kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya terutama sekali ketika ke bilik air untuk membersihkan dirinya,” katanya.

Menurut Aishah, keluarganya terpaksa membeli sendiri lampin pakai buang walaupun pendapatan sebagai peneroka agak terjejas akhir-akhir ini.

“Jika ada bantuan nanti, sekurang-kurangnya boleh membantu kami menampung kos perubatan serta keperluan Mohd Fadli,” katanya sayu.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan Aishah ini kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 5:30am
d