mutakhir

Sampai 31 Ogos

Oleh Hasbi Sidek

SEREMBAN: Kerajaan negeri memberikan tempoh sehingga 31 Ogos ini kepada sebuah resort di Pantai, dekat sini, untuk mengemukakan permohonan beroperasi daripada pihak berkaitan selepas ia dikesan melanggar beberapa peraturan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, kerajaan negeri bersama ketua jabatan sudah melawat resort berkenaan dan memberi tempoh setahun supaya menyelesaikan isu yang wujud.

“Kita buat tawaran kepada pemilik untuk buat pemutihan kerana selama ini mereka beroperasi tanpa kebenaran dan tidak mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan.

“Tempoh akhir diberi sehingga 31 Ogos ini dan kerajaan negeri tengah fikirkan untuk ambil tindakan drastik terhadap kawasan ini kerana ada beberapa kesalahan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN- Rantau) pada pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini, semalam.

Terdahulu Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Sikamat menjawab soalan Adun Suhaimi Kassim (PH- Lenggeng) mengenai pembangunan sektor pelancongan DUN Lenggeng.

Bagaimanapun, Mohamad mencelah dengan menasihatkan kerajaan negeri jangan terlalu ghairah mempromosikan produk ekopelancongan di negeri ini sehingga mengabaikan aspek keselamatan.

Mohamad memberi contoh tragedi yang berlaku terhadap remaja warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, yang ditemui meninggal dunia selepas 10 hari hilang dari resort penginapannya di kawasan Pantai.

“Isu ini perlu ditangani segera kerana ia akan mendatangkan imej yang tidak baik kepada negara dan Negeri Sembilan.

“Ini kerana kita tidak tahu bagaimana operasi operator yang menjalankan eko pelancongan itu,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 5:40am
d