mutakhir

50 minit terperangkap, 2 sesak nafas

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

DUA pekerja swasta wanita mengalami sesak nafas selepas terperangkap dalam lif selama 50 minit di sebuah bangunan perniagaan di Jalan Tun Sri Lanang di Melaka semalam.

Dalam kejadian 8.40 pagi itu, lif membawa 25 pekerja itu tiba-tiba tidak berfungsi dan gagal dibuka di tingkat enam bangunan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.43 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, pintu lif didapati masih terkunci dan anggota bomba berusaha membukanya menggunakan alat pembuka hidraulik sementara menunggu juruteknik tiba.

“Seramai 25 orang berjaya dikeluarkan dengan selamat pada 9.29 pagi tetapi dua daripadanya mengalami sesak nafas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30-an kemudiannya diberi bantuan pernafasan oleh pasukan perubatan kesihatan yang berada di lokasi.

Kamarulzaman berkata, pihaknya menasihati pengguna lif supaya mematuhi had kapasiti yang dibenarkan.

“Selain masalah mekanikal, kejadian juga dipercayai berpunca akibat lif berkenaan membawa muatan melebihi had sepatutnya,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 8:49pm
d