mutakhir

Guru KAFA terima bantuan kebajikan

Oleh BERNAMA

PERUNTUKAN kebajikan sebanyak RM2.6 juta diserahkan kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara bagi membantu meringankan beban golongan itu.

Peruntukan tersebut diserahkan dalam Konvensyen Penyelia KAFA Peringkat Kebangsaan, semalam oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Ia diserah kepada persatuan guru KAFA atau badan kebajikan guru KAFA yang berdaftar, seperti dipersetujui agensi bertanggungjawab di setiap negeri.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Kelantan adalah negeri yang menerima peruntukan kebajikan terbanyak iaitu RM388,000.

Kenyataan itu menyebut, bagi negeri yang tidak mempunyai persatuan guru KAFA atau badan kebajikan guru KAFA, mereka dinasihatkan untuk menubuhkannya bagi memudahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyalurkan peruntukan kebajikan tersebut.

Program KAFA dilaksanakan di seluruh negara bermula pada 1990.

KAFA merupakan program pengukuhan yang berkonsepkan pendidikan agama Islam peringkat rendah bagi kanak-kanak yang berumur 7 hingga 12 tahun dengan memberi penekanan kepada asas fardu ain dan kemahiran membaca al-Quran serta amali di samping memberi kemahiran dalam penulisan dan pembacaan Jawi.

Untuk rekod, seramai 99,642 murid KAFA berdaftar di seluruh negara sehingga Febuari 2019 dengan jumlah guru pula seramai 32,500 orang.

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 9:28pm
d