mutakhir

Apa nasib menara kawalan PUKL?

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

MENARA kawalan Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL), Sungai Besi yang boleh menjadi warisan sejarah negara berkemungkinan hanya tinggal pada nama selepas ini susulan pembangunan Projek Bandar Malaysia di kawasan itu.

Menara yang bertindak mengawal selia operasi penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkemungkinan akan dirobohkan sekali gus memadamkan bukti kewujudan PUKL Sungai Besi di Jalan Lapangan Terbang Lama terbabit.

Susulan pembangunan kawasan itu bagi Projek Bandar Malaysia, negara berkemungkinan kehilangan satu lagi lokasi bersejarah negara sama seperti nasib Penjara Pudu di Jalan Pudu yang dirobohkan pada Jun 2010 untuk tujuan pembangunan.

Jika dirobohkan, generasi akan datang berkemungkinan tidak akan berkesempatan melihat tinggalan kawasan PUKL berikutan pemindahan operasinya ke Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan.

Walaupun sebelum ini terdapat ura-ura bahawa menara kawalan yang juga Markas PUKL akan menjadi satu-satunya bangunan yang dikekalkan sebagai bukti sejarah, namun kini samar-samar.

Sumber berkata, TUDM sendiri tidak mempunyai maklumat mengenai nasib menara kawalan berkenaan yang sudah ditamatkan operasi sejak pertengahan 2017.

Menurutnya, sebelum operasi PUKL dipindahkan ke Pangkalan Udara Sendayan secara berperingkat pada 15 Mac tahun lalu, TUDM dimaklumkan bahawa menara kawalan itu akan dikekalkan sebagai bukti sejarah.

“Namun, selepas operasi membabitkan bahagian penerbangan dipindahkan ke Pangkalan Udara Subang dan Pangkalan Udara Sendayan, nasib bangunan ini jadi tanda tanya kepada warga TUDM.

“Ia kerana tiada usaha atau sebarang arahan dikeluarkan bagi mengekalkannya atau memeliharanya sebagai bukti ia sebahagian daripada sejarah negara,” katanya ketika ditemui di PUKL hari ini.

Sementara itu, bekas Panglima Tentera Udara (PTU) Leftenan Jeneral Tan Sri Mohd Yunus Tasi berkata, PUKL memang mempunyai nilai sentimental bagi warga TUDM, namun jika keperluan kerajaan lebih utama, ia bukan satu masalah jika lokasi itu terpaksa dibangunkan untuk tujuan pembangunan negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebaik-baiknya kerajaan tidak lupa untuk meletakkan mercu tanda kewujudan pasukan itu di lokasi berkenaan berikutan PUKL menjadi sebahagian sejarah pembentukan TUDM dan penerbangan di negara ini.

“Dalam sejarah negara, PUKL ini memang mempunyai peranannya sendiri tetapi jika pembangunan lebih utama berdasarkan keperluan negara, kita terpaksa terima jika ia dibangunkan.

“Cuma kita harapkan, ada mercu tanda diletakkan bagi membuktikan bahawa PUKL dan TUDM pernah berada di situ untuk menjalankan operasi kawalan trafik penerbangan udara satu ketika dulu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memikirkan lokasi baru bagi menempatkan Muzium TUDM yang mempamerkan aset cabang khidmat udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu bagi tatapan generasi akan datang.

“Aset dipamerkan di Muzium TUDM itu sangat banyak termasuklah pesawat dan memerlukan satu lokasi strategik bagi membolehkan ia dipertontonkan pada generasi mendatang.

“Ia penting agar generasi baru dapat menyelami sejarah negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 11:50pm
d