mutakhir

Ranap lepas tiga hari

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KANGAR: Peniaga dari Taman Bunga Padi tidak dapat menahan kesedihan apabila kedai makan yang diusahakannya sejak 11 tahun lalu musnah sekelip mata akibat dibadai ribut pagi semalam.

Bukan saja kerugian RM10,000, lebih menyedihkan dia baru saja memulakan perniagaan sejak tiga hari lalu selepas kedainya dibaik pulih akibat kesan ribut tempias taufan Lekima dua minggu lalu.

Peniaga, Noralia Azizan, 34 berkata, dia sama sekali tidak menyangka ribut yang melanda jam 10.30 pagi selama 10 minit itu bakal mengubah nasibnya sekeluarga.

Apa tidaknya, selama 11 tahun dia membesarkan empat anak berusia antara tiga hingga 13 tahun dengan hasil jualan di kedainya itu.

“Sewaktu angin kuat disusuli hujan lebat melanda kawasan ini pagi tadi (semalam), saya rasa tidak sedap hati dan bimbang keadaan kedai memandangkan kami pernah melalui pengalaman yang sama ketika taufan Lekima membadai negeri ini.

“Sejurus hujan berhenti, saya dan anak pergi ke kedai dan mendapati bumbung kedai terbalik dan beberapa peralatan berniaga turut musnah sama sekali,” katanya ketika ditemui di kedainya di Taman Bunga Padi, Bintong, semalam.

Noralia berkata, dia kini runsing kerana sumber mata pencariannya hilang sama sekali, selain dia sudah kehabisan wang bagi memulakan kembali perniagaannya.

“Sebelum ini saya dan suami ada meminjam dengan pelbagai pihak dan rakan bagi membaiki kedai yang rosak akibat dipukul ribut dalam kejadian dua minggu lalu.

“Namun tidak sangka kedai kami musnah sekali lagi selepas dua minggu ia dibaiki. Kini saya buntu pada siapa mahu meminta bantuan,” katanya.

Beliau berkata, dengan hasil pendapatan RM100 sehari, dia menyara keluarganya sekadar mencukupi.

Dia turut berharap ada pihak yang tampil membantu memandangkan dalam kejadian taufan Lekima sebelum ini dia tidak menerima sebarang bantuan bencana.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 5:20am
d