mutakhir

Nombor 3 termiskin

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KOTA BHARU: Semua pihak perlu menerima hakikat Kelantan antara negeri termiskin di negara ini berdasarkan data yang diperoleh hasil daripada kajian yang dilaksanakan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kemiskinan negeri ini berada pada kadar 0.4 peratus menyamai purata nasional, sekali gus menjadi negeri ketiga tertinggi selepas Sabah dan Sarawak.

Katanya, berdasarkan statistik di pangkalan data eKasih pada Jun lalu menunjukkan 31,312 isi rumah berada di paras miskin manakala miskin tegar sebanyak 6,624.

“Apa yang perlu difahami, data ini diperoleh daripada kajian dilaksanakan dan pada masa sama apabila kita turun ke bawah, ada kumpulan yang masih ketinggalan, itu hakikat kita harus terima.

“Data ini menunjukkan mereka masih perlu dibantu dan dengan menyatakan tiada kemiskinan, ia agak misleading apabila kita lihat apa yang berlaku di bawah.

“Kami melihat data ini untuk pastikan rakyat yang perlukan bantuan sepenuhnya dapat pembelaan sewajarnya,” katanya selepas majlis Kongres Sosioekonomi Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang juga Pro-Canselor UMK.

Dalam program itu, Dr Mohd Radzi turut menyampaikan ucaptama bertajuk Inklusiviti Dalam Pembangunan Sosioekonomi Kelantan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Radzi berkata, sektor pelancongan dan pertanian perlu diberi perhatian untuk memberi impak kepada ekonomi negeri ini.

“Sektor pelancongan kita terlalu banyak, tapi tidak digembleng sepenuhnya. Satu lagi kepakaran dalam bidang pertanian cukup ramai, tapi dibuat dalam skala kecil tanpa penggunaan teknologi baik.

“Sektor ini mempunyai potensi cukup besar yang sepatutnya dapat menjana ekonomi negeri ini dan kita harap menerusi program ini, pandangan daripada pelbagai pihak dapat membantu bagaimana membangunkan Kelantan,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 5:31am
d