mutakhir

Terima kasih abang bomba...

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SEPASUKAN anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran membantu membaiki kerosakan bumbung bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMKL) Balaban Jaya, Beluran, semalam.

Bumbung bangunan sekolah itu mengalami kerosakan apabila zink rosak akibat ribut Isnin lalu di kawasan berkenaan.

Ketua BBP Beluran, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10 pagi, semalam.

“Sebaik menerima panggilan itu, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk membaiki kerosakan membabitkan atap zink dan penutup angin berukuran kira-kira sembilan meter di satu blok bangunan yang menempatkan empat kelas.

“Anggota bomba bertindak mencabut dan mengalihkan atap yang rosak serta membantu pihak sekolah memasang atap baharu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rastam berkata, kerja pembaikan dilakukan di ketinggian 20 meter iaitu di bahagian bumbung dan mengambil masa selama kira-kira satu jam.

“Kerja pembaikan berjalan dengan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 10:48am
d