mutakhir

Kapal tangki misteri

Oleh Nurul Amanina Suhaini

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki tanpa muatan di kedudukan kira-kira 3.1 batu nautika timur Tanjung Penyusop, Kota Tinggi, tengah hari semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, dalam kejadian jam 12.10 tengah hari itu, kapal berkenaan ditahan selepas dipercayai berlabuh tanpa kebenaran.

“Kapal tangki berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia, ditahan bot ronda Maritim Malaysia selepas pemeriksaan mendapati kapal itu gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut.

“Kapal ini dikendalikan 11 kru termasuk nakhoda yang mana lapan daripadanya warga Myanmar manakala tiga lagi warga Filipina.

“Semua lelaki ditahan berusia antara 28 hingga 46 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B (1)(I) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut.

“Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“APMM serius menguatkuasakan undang-undang dan mempertingkatkan rondaan bagi memastikan perairan negara sentiasa terjamin serta undang-undang dipatuhi di perairan negara khususnya perairan Johor Timur,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 12:01pm
d