mutakhir

Heret pasangan warga emas uzur elak rentung

Oleh Siti Rohana Idris

“NASIB baik ada orang heret Mak Wan dan suami, kalau tidak dah mati rentung dalam rumah,” kata Wan Minah Wan Mamat, 80, salah seorang mangsa kebakaran membabitkan tujuh rumah di Kampung Padang Pohon Tanjong, Tumpat, pagi ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi, empat rumah hangus manakala tiga lagi terbakar antara 20 hingga 80 peratus.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Wan Minah berkata, ketika kejadian dia dan suaminya, Wan Ismail Wan Ali, 88, sedang berehat sebelum beberapa penduduk kampung berlari ke rumah mereka sambil memberitahu ada rumah terbakar dan meminta mereka keluar menyelamatkan diri.

“Saya memarahi mereka kerana menyangkakan itu gurauan kerana tidak nampak api di mana-mana bahagian rumah saya.

“Rupanya ketika itu sudah ada beberapa rumah lain sedang terbakar dan api mula merebak ke rumah kami.

“Saya segera mengheret suami untuk turun dari rumah dan melihatkan keadaan kami yang uzur, penduduk kampung segera memberi bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Seorang lagi mangsa, Husin Ali, 80, berkata ketika kejadian dia berada di kedai kopi sebelum dimaklumkan rumahnya terbakar.

“Sebaik tiba di rumah, tiga cucu bersama penduduk kampung sedang cuba memadamkan api dengan menjirus air menggunakan baldi dan tong air.

“Saya pula hanya mampu melaungkan ‘Allahuakbar’ sahaja berkali-kali kerana panik dan tidak sangka musibah ini menimpa kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Kanan Bomba II Syobirin Abd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu tiba enam minit kemudian.

“Seramai 40 pegawai dan anggota dari BBP Wakaf Bharu, Tumpat, Kota Darulnaim dan Tunjong bersama dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terbabit dalam operasi pemadaman.

“Ketika sampai, api sedang marak dan disebabkan jarak rumah kediaman yang rapat, api merebak dengan pantas.

“Kami menggunakan dua sumber air iaitu dari pili bomba dan sumber air terbuka dari tali air berhampiran. Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh 25 minit,” katanya.

Menurutnya, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 1:40pm
d