mutakhir

Mana nak lari nyah...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

MAK Nyah yang sedang menunggu pelanggan di Jalan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Alor Setar bertempiaran lari sebaik menyedari lokasi itu diserbu pihak berkuasa semalam.

Serbuan 11 malam itu disertai anggota Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bersama polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berikutan aduan dan maklumat awam.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya menahan lima lelaki yang berpakaian wanita di kawasan itu.

Beliau berkata, empat daripadanya adalah lelaki Islam dan seorang lagi bukan Islam berusia antara 33 hingga 53 tahun yang disyaki berkhidmat sebagai mak nyah.

“Berdasarkan maklumat diri mereka, ada berasal dari Johor dan Thailand manakala tiga lagi negeri itu.

“Kita percaya mereka berada di situ untuk menunggu pelanggan dengan melakukan perbuatan tidak sopan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, mereka dibawa ke pejabat JAIK untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana lelaki berlagak seperti wanita.

Beliau berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara setahun atau kedua-duanya.

“Kita akan melakukan operasi berterusan di kawasan itu bagi memastikan aktiviti tidak sihat di situ berkurangan,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 3:33pm
d