mutakhir

13 motosikal terbakar

Oleh Mary Victoria Dass

TIGA belas motosikal, sebuah bilik sewa dan kedai motosikal musnah dalam kebakaran di Jalan Lumba Kuda, Johor Bahru 10.30 pagi hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada 10.52 pagi.

Menurutnya, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dikejarkan ke tempat kejadian.

Pada masa sama katanya, 26 anggota termasuk dari BBP Johor Jaya membantu memadamkan kebakaran diketuai Komander Operasi Suhaimi Jamal.

“Kebakaran berlaku di sebuah kedai motosikal jenis separuh kekal yang memusnahkan 13 motosikal serta sebuah bilik sewa.

“Ketika memadamkan api, kami turut menemui wang tunai RM7,767, barang kemas kira-kira RM5,000 dan dua keping cek bank bernilai RM40,000.

“Semua barangan itu diserahkan kepada pemilik kedai,” katanya.

Menurutnya, kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

“Operasi ditamatkan pada 12.30 tengah hari,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 4:36pm
d