mutakhir

Bincang isu kemiskinan esok

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

DAKWAAN mengatakan rekod kemiskinan dalam negara tidak tepat akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, esok.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu sedang diteliti anggota Kabinet bagi memastikan sama ada dakwaan itu benar dan berasas atau sebaliknya.

“Saya tidak pasti sama ada dakwaan itu berfakta, apa yang penting kita ada mesyuarat Kabinet esok. Saya sememangnya berharap (ada penjelasan) daripada rakan saya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempunyai data dan angka untuk dibawa dalam mesyuarat.

“Beliau (Azmin) sudah jelaskan perkara itu sebelum ini, namun kita akan melihat lebih lanjut sama ada (dakwaan) itu benar atau tidak berdasarkan fakta dan kriteria yang digunakan untuk mengukur tahap kemiskinan negara,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 peringkat Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.

Minggu lalu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof Philip Alston mendakwa pemerhatian dan siasatan dilakukannya mendapati rekod kemiskinan negara tidak tepat.

Dia juga dilapor menyarankan kerajaan mengkaji dan menilai semula kadar kemiskinan kerana kadar rasmi 0.4 peratus adalah tidak tepat, malah kadar sebenar didakwanya lebih tinggi iaitu hampir sama dengan negara lain iaitu 15 peratus.

Rumusan itu dakwanya selepas lawatan ke negara ini selama 11 hari bermula 13 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dakwaan yang dibuat Alston adalah serius sekali gus perlu diberi perhatian.

“Apabila seseorang datang ke negara ini dan menjelajah selama 11 hari dan mengeluarkan kenyataannya, pastinya kita perlu ambil berat perkara ini.

“Kita sudah berusaha menangani soal garis kemiskinan rakyat sejak Dasar Ekonomi Baharu (DEB) diperkenal oleh Tun Abdul Razak,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 6:03pm
d