mutakhir

Tiga unit kondominium terbakar

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TIGA rumah di sebuah kondominium di Taman Cempaka, Ampang, terbakar, hari ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, 3.33 petang tadi.

“Seramai 17 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati tiga rumah di tingkat 13 bangunan kondominium terbabit terbakar sebelum kebakaran berjaya dikawal jam 3.58 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hafisham berkata, kebakaran berkenaan berjaya dipadam sepenuhnya jam 4.57 petang.

“Kebakaran itu menyebabkan sebuah rumah musnah sepenuhnya, manakala dua lagi kediaman masing-masing musnah 50 dan 30 peratus.

“Tiada mangsa yang terbabit dan kejadian ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 6:46pm
d