mutakhir

Alhamdulillah, Tun Siti Hasmah pulih

Oleh BERNAMA

TUN Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sudah pulih daripada keracunan makanan yang ringan, tetapi belum dibenarkan keluar dari hospital.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakhiri lawatan rasmi ke Vietnam, hari ini berkata, akan terus melawat isterinya itu sebaik tiba di tanah air.

Dr Siti Hasmah menerima rawatan di Prince Court Medical Centre di Kuala Lumpur sejak Isnin lalu.

“Dia (Dr Siti Hasmah) sudah pulih, tapi masih di hospital lagi.

“Saya balik ini, saya akan pergi ke hospital melawat (Dr Siti Hasmah). Sudah rindu… dah 60 tahun (berkahwin).

“Orang lain kahwin berapa tahun, buat belanja kenduri besar-besar, panggil ramai orang tetapi dua tahun (sudah) bercerai,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Hanoi, hari ini.

Isnin lalu, Dr Siti Hasmah dilapor dimasukkan ke hospital kerana keracunan makanan yang ringan.

Menurut jurucakap Pejabat Perdana Menteri, Dr Siti Hasmah agak kurang sihat dan sedang berehat.

Beliau sepatutnya menemani Dr Mahathir untuk lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam dan mempunyai program asing termasuk melawat Vietnam National Academy of Music.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 6:48pm
d