mutakhir

Ajal jururawat di rumah sendiri

Oleh Nur Saliawati Salberi

“SAYA sangka dia merajuk kerana tinggalkannya, tak sangka diamnya petanda dirinya sudah tiada.

“Puas saya panggil pagi semalam untuk memberikannya bihun goreng tapi langsung tidak menyahut,” kata Rohani Harun, 49, jiran jururawat yang ditemui meninggal dunia di rumahnya di Taman Desa Molek, Melaka malam tadi.

Mayat Laili A Majid, 54, ditemui dalam keadaan tertiarap di bilik tidur rumahnya pada 8 malam selepas dua hari tidak keluar rumah.

Menurut Rohani, kali terakhir dia menemui jiran belakang rumahnya itu pada Sabtu sebelum ke Selangor kerana menghantar anaknya untuk melanjutkan pengajian.

Katanya, disebabkan jirannya itu tidak sihat dia banyak membantu termasuk menyediakan makanan.

“Ketika menghantar anak, saya bertanya khabar melalui WhatsApp tetapi dia tidak membalasnya dan kebetulan Isnin saya sibuk tidak sempat menjengahnya.

“Petang semalam, curiga kerana arwah tidak juga kelihatan kami jiran membuat keputusan mendapatkan bantuan polis,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurutnya, arwah yang bertugas di Hospital Melaka kini sedang bercuti kerana tidak sihat dan walaupun beberapa kali ditanya mengenai penyakit dihidapinya dia hanya mendiamkan diri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan kes mati mengejut (SDR).

Beliau berkata, proses bedah siasat akan dijalankan selain pihaknya dimaklumkan arwah menghidap kanser payu dara tahap empat.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 7:02pm
d