mutakhir

Ceria berarak naik ceketeng

Oleh Adnan Ibrahim

SIMPANG RENGGAM: Seramai 20 murid tadika serta 65 penduduk Kampung Parit Ghani dekat sini, berarak mengelilingi kampung menggunakan ceketeng serta motosikal roda tiga bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-62, semalam.

Penyelia Tadika Kampung Parit Ghani, Saidatul Akma Asnan berkata, ceketeng yang juga kenderaan direka khas untuk mengangkut nanas dan jagung serta motosikal roda tiga itu dihiasi Jalur Gemilang serta bendera negeri.

Katanya, aktiviti itu bertujuan menanam semangat patriotik dalam kalangan kanak-kanak walaupun mereka belum memahami erti merdeka.

“Pihak tadika bangga dengan sambutan serta kerjasama penduduk kampung menyediakan ceketeng dan motosikal roda tiga untuk membawa murid tadika mengelilingi kampung.

“Tujuannya juga untuk memberikan gambaran kepada anak berkaitan kepayahan ibu bapa mereka mencari rezeki dan menyara keluarga,” katanya.

Saidatul berkata, ini sambutan kali kedua selepas julung kali diadakan tahun lalu dan bercadang menjadikannya sebagai acara tahunan.

Menurutnya, hampir 40 ibu bapa turut serta dengan mengiringi dua kenderaan itu menggunakan motosikal masing-masing yang turut dipasang Jalur Gemilang.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 5:50am
d