mutakhir

Minta air sebelum samun

Oleh Nur Saliawati Salberi

WANITA warga emas berdepan detik mencemaskan selepas diacukan pisau dalam kejadian samun bersenjata di rumahnya di Kilometer 21, Jalan Merlimau- Melaka, Jasin, semalam.

Kejadian 10.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, 73, kerugian kira- kira RM600.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian mangsa yang tinggal seorang diri di rumah didatangi dua lelaki menaiki Proton Wira merah hati (maroon) yang kononnya ingin memburu ayam denak.

Beliau berkata, seorang daripada suspek kemudian meminta air untuk minum dengan mangsa.

"Mangsa yang berasa takut dan curiga kemudian bertindak menutup pintu rumah sebelum beberapa minit kemudian menghulurkan air melalui tingkap.

"Bagaimanapun ketika mangsa hendak hulurkan air suspek memegang tangan dan menendang pintu rumah sehingga terbuka," katanya.

Menurut Arshad, ketika kejadian seorang lagi suspek yang juga pemandu kereta berkeliaran di kawasan rumah.

Beliau berkata, suspek yang masuk ke rumah mengacukan pisau kepada mangsa.

"Barangan milik mangsa seperti beg duit, kad bantuan sara hidup, kad bank serta sejumlah wang tunai lebih RM500 yang kesemuanya dianggarkan kira-kira RM600 dilarikan suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan selain usaha mengesan suspek berusia 20-an sedang dijalankan dan kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk salurkan kepada polis," katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 9:51am
d