mutakhir

Cemas anak terperangkap dalam tandas

Oleh Hasbi Sidek

MERAJUK selepas ditegur ibunya, kanak-kanak berusia tujuh tahun ‘membawa diri’ ke tandas di dalam bilik di rumahnya dekat Taman Hijayu 3, Sendayan, Seremban, sebelum pintu tandas berkenaan terkunci menyebabkan dia terperangkap, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa didapati menangis di dalam tandas, namun tidak boleh membuka pintu menyebabkan ibunya takut lalu meminta bantuan beberapa jiran, namun gagal.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Mohd Syazwan Saidy dari Balai Bomba (BBP) Seremban 2 berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit memecahkan tombol pintu berkenaan menggunakan peralatan yang ada.

“Kami menerima panggilan khidmat khas mangsa terperangkap di dalam bilik air 11.39 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari BBP Seremban 2 bergegas ke lokasi.

“Kami dapati kanak-kanak berusia tujuh tahun terperangkap di dalam tandas yang pintunya terkunci dan tidak boleh dibuka dari dalam atau luar bilik air, malah beberapa jiran yang turut membantu sebelum bomba tiba juga gagal membukanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dengan menggunakan peralatan bomba, pihak berjaya memecahkan tombol pintu sebelum mengeluarkan mangsa dalam keadaan selamat, namun dalam keadaan trauma.

“Daripada maklumat ibu mangsa, kanak-kanak itu dimarahi wanita itu selepas bergaduh dengan abangnya sebelum masuk ke bilik tidur.

“Abangnya yang mendapati mangsa diam di dalam bilik cuba mencari, namun terdengar bunyi tangisan dari dalam tandas yang berkunci sebelum memaklumkan kepada ibu mereka,” katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 10:58am
d