mutakhir

Kibar Jalur Gemilang terbalik simbol protes?

Oleh Hasbi Sidek

MEMASANG Jalur Gemilang secara terbalik sebagai tanda protes kepada kerajaan adalah satu tindakan kurang bijak kerana bendera adalah lambang kebanggaan negara.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemasangan Jalur Gemilang perlu mengikut kesesuaian dan di lokasi betul.

“Perkara ini dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja. Saya menasihati masyarakat bahawa Jalur Gemilang adalah satu harga cukup besar bagi negara ini.

“Dengan memasang bendera terbalik dengan niat mereka marah tetapi menunjukkan mereka adalah masyarakat yang kurang cintakan negara,” katanya ketika sidang media sejurus membuat lawatan di Rumah Pangsa Tun Dr Ismail, Seremban, hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu juga bakal menjadi contoh tidak baik kepada generasi akan datang.

“Anak-anak dididik sejak dari kecil bagaimana untuk mengibarkan Jalur Gemilang, namun kalau kibarkan secara terbalik menunjukkan kepada kita bahawa mereka tidak menjiwai semangat patriotik kemerdekaan sebenar.

“Jadi tidak sepatutnya sebagai anak jati negara ini memasang bendera secara terbalik dengan niat mereka marah,” katanya.

Ulas beliau, tindakan perlu diambil jika ternampak pihak memasang Jalur Gemilang secara terbalik kerana ia tidak menghormati keamanan dan keharmonian dibajai setiap masa.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 2:23pm
d