mutakhir

Tahan sakit 30 minit

Oleh Nur Saliawati Salberi

WARGA emas menahan kesakitan kira-kira 30 minit selepas kaki kirinya tersekat pada batu penutup longkang di Kampung Bunga Raya Pantai, Melaka hari ini.

Ketika kejadian 2.40 pagi itu, lelaki berusia 61 tahun itu berjalan di kawasan berkenaan yang berdekatan dengan premis jualan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Md Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam 2.47 pagi sebelum enam anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, mangsa berada di atas batu penutup longkang dengan sebelah kaki terperosok sehingga paras lutut.

“Bomba menggunakan jet hidrolik dan gergaji bagi mengeluarkan kaki kiri mangsa yang tersepit.

“Kerja menyelamat mangsa mengambil masa tiga minit,” katanya.

Kamarulzaman berkata, mangsa dihantar ke sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan susulan kecederaan pada kakinya.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 2:31pm
d