mutakhir

Tengkorak manusia dalam kebun getah

Oleh Muhammad Apendy Issahak

TENGKORAK dan tulang manusia ditemui dalam keadaan berselerak di sebuah kebun getah di Kampung Changkat Belingkor, Batu Gajah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian, pada 3.15 petang tadi.

Menurutnya, susulan maklumat berkenaan, sepasukan polis bertindak ke lokasi penemuan itu.

Katanya, siasatan awal mendapati tengkorak dan tulang terbabit mungkin seorang lelaki berdasarkan pakaian yang ditemui berhampiran kawasan terbabit.

“Terdapat juga baju, kain dan tali pinggang disyaki milik mangsa dijumpai di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Ahmad Adnan berkata, siasatan awal, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau berkata, ia sementara menunggu laporan bedah siasat yang akan dibuat esok di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga dalam tempoh terdekat diminta menghubungi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di talian 053629222 (Pegawai Penyiasat Inspektor Lukman) bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 9:29pm
d