mutakhir

75% api dipadam

Oleh Mohd Sabran Md Sani

ISKANDAR PUTERI: Sembilan hari sudah berlalu namun kebakaran besar hutan di Pekajang, Gelang Patah di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya.

Malah sehingga semalam, anggota bomba dan penyelamat masih bertungkus-lumus memadam kebakaran kawasan tanah gambut itu.

Teknik total flooding atau membanjirkan keseluruhan kawasan kebakaran dan semburan langsung masih digunakan untuk memadamkan kebakaran hutan seluas lebih 16 hektar itu.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Faizul Selamat berkata, selain itu, pihaknya masih menggunakan kaedah fire break dengan mewujudkan parit berair bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain.

Katanya, anggota bomba dan penyelamat masih bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan sejak Rabu minggu lalu.

“Seramai 133 anggota JBPM serta bantuan pelbagai agensi lain meneruskan usaha memadamkan kebakaran pada hari kesembilan semalam.

“Kekuatan anggota dan aset masih sama seperti semalam (kelmarin) dan usaha memadam kebakaran akan diteruskan anggota yang ditugaskan secara bergilir-gilir bagi tempoh empat jam setiap giliran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Setakat ini katanya, 75 peratus daripada kawasan 16 hektar hutan terbakar berjaya dipadamkan.

“Pelan Tindakan Kejadian membabitkan pemantauan dan operasi pemadaman di sektor 1, 2 dan 3 di lokasi kebakaran hutan terbabit,” katanya.

Kebakaran kawasan hutan bertanah gambut di Kampung Pekajang dan Kampung Tanjung Adang bermula Rabu lalu.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 5:21am
d