mutakhir

Nombor orang lain

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KANGAR: Pesara tentera dari Beseri, Padang Besar menghadapi kesukaran hidup berikutan tidak memperoleh MyKad sejurus menamatkan tempoh perkhidmatan tentera sejak 2016 lalu.

Justan Latahang, 44, yang berasal dari Tawau, Sabah kini buntu memikirkan masa depan keluarganya apabila dia tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan bergaji bulanan berikutan tidak mempunyai sebarang kad pengenalan diri.

Menurutnya, sehingga kini sebarang urusan rasmi yang membabitkan diri dan keluarganya, dia hanya menggunakan kad pengenalan tentera yang sudah luput sejak dia tamat tempoh perkhidmatannya.

“Masalah ini timbul apabila saya kembali ke Sabah untuk memohon MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau selepas bersara wajib dalam tentera.

“Sewaktu memohon, pegawai di sana memaklumkan berlaku pertindihan dan kesilapan teknikal pada surat beranak saya.

“Saya dimaklumkan ada pertindihan antara nombor surat beranak saya dengan individu lain yang tidak dikenali yang didakwa menggunakan nombor siri sama dengan kepunyaan saya,” katanya ketika ditemui di Kangar, semalam.

Justan berkata, sudah berkali-kali dia memfailkan rayuan di Ibu Pejabat JPN di Putrajaya, namun tiada sebarang maklum balas yang diterima sejak 2017.

“Saya sudah banyak menghabiskan wang dengan berulang-alik dari Perlis ke Putrajaya serta Tawau, Sabah bagi menyelesaikan masalah ini.

“Namun sehingga kini masih tiada jawapan, malah saya sudah berulang kali membuat permohonan dan rayuan tetapi akhirnya saya diminta membuat permohonan yang baru kerana permohonan asal ditolak,” katanya.

Dia kini menyara isteri yang tidak bekerja bersama tiga anak berusia antara lima hingga 13 tahun dengan menggunakan wang persaraan tentera.

“Saya berharap ada pihak di Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri tampil untuk membantu saya menyelesaikan masalah ini.

“Seandainya mereka meragui kesetiaan saya terhadap negara, mereka boleh melihat pingat perkhidmatan dan persekutuan yang dikurniakan kepada saya sepanjang tempoh berkhidmat dalam Rejimen Renjer Diraja,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 5:40am
d