mutakhir

Kantoi mencuri, tak dapat balik 'kampung'

Oleh Recqueal Raimi

HASRAT dua lelaki warga Peru melarikan diri selepas mencuri beg tangan milik pelancong wanita warga Korea berusia 35 tahun di kawasan peranginan di Tuaran, tidak kesampaian apabila ditahan polis tidak kurang empat jam, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim yang mengesahkan kejadian berkata, siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku pada 7 pagi apabila mangsa menyedari beg tangannya hilang ketika bersarapan.

Katanya, hasil pemeriksaan rakaman litar tertutup (CCTV) mendapati, seorang suspek mengambil beg tangan mangsa sebelum menaiki kereta Perodua Axia yang dipandu rakannya.

“Tidak lama kemudian, polis menerima maklumat bahawa kedua-dua suspek berusia 63 tahun dan 64 tahun itu berada di pekarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 11.50 pagi.

“Susulan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tuaran dikerah ke lokasi dan segera menangkap kedua-dua suspek terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hamizi berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana perbuatan jenayah mencuri harta benda.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan harta benda berharga tanpa pengawasan terutama di tempat awam,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 11:58am
d