mutakhir

Dua beranak maut langgar lori

Oleh Nur Izzati Mohamad

DUA beranak maut selepas motosikal ditunggangi mereka merempuh lori milik syarikat penyelenggaraan di Kilometer 144.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Bukit Mertajam, hari ini.

Kemalangan 10.07 pagi itu mengakibatkan S Anbalagan, 46, dan anak lelakinya A Dineswaran, 24, maut di lokasi kerana parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila dua beranak itu yang dalam perjalanan dari Simpang Ampat menuju Juru merempuh belakang lori yang berhenti menjalankan kerja penyelenggaraan dekat situ.

“Rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa terjatuh dan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

“Seorang pekerja yang berada di lokasi kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 3:12pm
d