mutakhir

Ladang lembu pun jadi [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

TINDAKAN tiga lelaki menjadikan bangsal dalam ladang ternakan lembu di Kampung Pengkalan Batu, Mersing sebagai makmal memproses dadah, dibongkar polis, Selasa lalu.

Dalam serbuan kira-kira 4 petang itu, pelbagai cecair dan bahan kimia serta peralatan memproses dadah dipercayai bagi menghasilkan syabu ditemui, selain menahan lelaki berkenaan yang juga pengusaha ladang, pengusaha kandang dan pemandu lori

berusia 33 tahun hingga 52 tahun.

Lokasi terpencil itu dipilih bagi mengelak kegiatan dikesan orang ramai apatah lagi, dadah yang diproses boleh mengeluarkan bau kuat.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya percaya suspek sengaja memilih kawasan ladang itu yang dianggap strategik untuk kegiatan mereka daripada diketahui umum.

Katanya, kegiatan itu bagaimanapun berjaya dibongkar hasil risikan Pasukan Tindakan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman.

“Sejumlah 186.7 kilogram (kg) cecair berwarna coklat disyaki dadah dirampas bersama 11.60 kg cecair ‘meth oil’ yang boleh menghasilkan tujuh kilogram syabu yang nilainya mencecah RM350,000.

“Turut dirampas 2.02 kg ‘ephedrine’ dan yang ini pula boleh menghasilkan sekg syabu bernilai RM20,000, selain 11.80 kg ‘red phosphorus’, 10 bekas plastik ‘sodium hydroxide’, sebotol asid asetik, lima botol plastik asid hidroklorik dan dua botol ‘etanol absolute’.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM350,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya turut menyita peralatan lain seperti tong logam, tong plastik, tong gas, dapur gas, periuk logam, baldi dan kerusi, selain kereta BMW, Toyota Hilux, lori Mitsubishi, gelang, cincin, tiga loket, anting-anting dan rantai leher yang semuanya dianggarkan bernilai RM250,000.

Menurutnya, polis kini giat mengesan baki ahli sindiket itu dan melakukan siasatan lanjut pasaran dadah itu sekiranya berjaya diproses.

“Kita percaya kemungkinan ladang ini adalah milik seorang daripada suspek atau tempat bekerja suspek lain, memandangkan ketiga-tiga mereka terdiri daripada pengusaha ladang, penguasa kandang dan pemandu lori,” katanya.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Mereka suspek ditahan reman tujuh hari bermula Rabu lalu hingga 3 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 3:32pm
d