mutakhir

Dipenjara 7 bulan dera anak

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

TINDAKAN seorang suri rumah mendera anak sulungnya menggunakan rotan, Julai lalu menerima padah apabila dia dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap wanita berusia 29 tahun itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 22 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan penderaan dengan rotan sehingga menyebabkan kecederaan pada bahu kanan anak sulung perempuannya yang berusia tujuh tahun.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di ruang tamu rumahnya di sebuah flat di Sentul, pada 11.30 malam, 18 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan dia masih mempunyai dua lagi anak berusia tiga dan lapan bulan.

Timbalan Pendakwa Raya Afif Nazrin Zaharinan, bagaimanapun, memohon mahkamah mengenakan hukuman memberi pengajaran kepada tertuduh.

Katanya, tindakan tertuduh merotan anaknya sehingga cedera menggunakan alasan untuk disiplin adalah tidak munasabah.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 3:59pm
d