mutakhir

Mowgli Malaysia jual rambutan pulok...

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

POPULARITI yang diraih ‘Mowgli Malaysia’, Muhammad Syukur Khamis, 14, dalam pelbagai bidang termasuk beraksi untuk sesi fotografi dan lakonan tidak menghalangnya untuk membantu bapanya, Khamis Jusoh, 63.

Selain membantu menguruskan kerbau di kandang, Muhammad Syukur atau lebih mesra dipanggil Syukor tidak keberatan membantu keluarganya menjual rambutan di Pasar Borong Gong Pauh di Kuala Terengganu sejak awal Ogos lalu.

Kehadiran Syukor di pasar itu menjadi tumpuan pengunjung sekali gus memeriahkan suasana di pasar berkenaan.

Menurutnya, dia tidak kisah bangun seawal jam 6 pagi pada Jumaat untuk membantu bapanya menjual rambutan di pasar berkenaan.

“Sebagai anak, wajib saya membantu keluarga dan populariti yang diraih bukan alasan untuk memilih atau berasa malu sebaliknya saya seronok apabila jualan laris dan dikerumuni orang ramai,” katanya ketika ditemui di Pasar Borong Gong Pauh hari ini.

Syukor berkata, dia membantu bapa dan kakaknya, Nor Ain Solehah, 20, menjual dua jenis rambutan iaitu anak sekolah dan kerak nyior.

“Kami memang memiliki kebun rambutan dan sebanyak 300 hingga 400 kilogram rambutan dijual di pasar ini pada setiap Jumaat.

“Selain membeli rambutan, ramai juga pelanggan yang meminta untuk bergambar dengan saya. Memang letih dan tidak cukup tangan melayan mereka tetapi ia sangat menyeronokkan,” katanya.

Mengenai ternakan di kandang pula, ia diuruskan abangnya, Muhamad Alias, 29, dan dia tetap turun bermain dengan kerbau pada waktu petang jika tidak sempat ke sana pada waktu pagi.

Sementara itu, Muhamad Alias berkata, keluarganya sentiasa mengamalkan konsep tolong-menolong antara satu sama lain.

“Walaupun Syukor menjadi tumpuan ramai, dia tetap anak dan seorang adik yang sama, tidak berubah dengan apa yang dicapainya sekarang,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 5:39pm
d