mutakhir

Beg mewah ditemui semula

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

DUA lelaki yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah ditahan dalam satu serbuan di Taman Emas, Kepong di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Arifai Tarawe berkata, lelaki berusia 22 dan 31 tahun itu ditahan pasukan Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Menurutnya, tangkapan itu susulan laporan kes pecah rumah daripada mangsa lelaki berusia 30 tahun di Taman Tun Dr Ismail pada Isnin lalu.

“Berdasarkan laporan itu, mangsa bersama keluarganya yang tiada di rumah kehilangan wang tunai, barangan kemas, 10 beg tangan mewah dan kasut berjenama yang keseluruhannya bernilai RM645,000.

“Hasil risikan dan maklumat awam, pasukan D4 menyerbu sebuah rumah pada 4 petang dan menahan kedua-dua suspek terbabit.

“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan berjenama seperti telefon bimbit, kasut, beg dan jam tangan yang disyaki hasil kegiatan pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, dengan penahan suspek membawa kepada serbuan kedua di sebuah Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Laman Damai Kepong pada hari yang sama.

“Polis kemudiannya menemui beberapa beg tangan mewah, kamera dan minyak wangi. Kita percaya kegiatan itu turut dilakukan seorang rakan suspek yang masih bebas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula semalam,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 8:22pm
d