mutakhir

Semai semangat setiakawan - PM

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

TUN Dr Mahathir Mohamad berharap semua rakyat Malaysia tidak kira apa agama, bangsa dan budaya akan dapat mendalami diri masing-masing dan mencari semangat setiakawan dan kenegaraan yang sebelum ini berjaya membantu negara mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara.

Perdana Menteri berkata, sejarah juga memperlihatkan betapa negara ini terbina di atas nilai-nilai tolak ansur, ketinggian budi, hormat-menghormati, kesediaan memberi dan berkongsi, tidak mementingkan diri dan berkemahuan untuk berkorban demi kepentingan negara.

“Seharusnya, semakin kita maju dan berjaya, semakin kita sedar betapa perlunya kita kepada nilai-nilai baik tersebut. Jika nilai-nilai tersebut yang dipegang oleh ibu bapa dan datuk nenek kita berjaya membentuk negara ini, sudah pasti ia lebih penting apabila kita mengurus kemajuan yang tercapai.

“Kita perlu bertanya apakah kita sudah tidak lagi peduli terhadap masa depan negara di dalam mempertahan kepentingan sempit bangsa dan agama masing-masing. Sesungguhnya, jika kita benar-benar ikhlas, kita akan sedar betapa besar nikmat yang ada di dalam negara kita ini. Jika kita mempunyai kesedaran itu, kita akan mencari jalan dan berusaha sedaya mungkin untuk

mempertahankannya.

“Malangnya, jika kita lihat di sekeliling kita, di dalam kita hanyut dengan kemajuan komunikasi dan digitalisasi, nilai-nilai yang baik itu diketepi dan diganti dengan sifat buruk yang jelik dan menjijikkan. Yang lebih merosakkan ialah apabila sifat buruk ini terserlah ketika berdepan dengan isu-isu sensitif mengenai bangsa dan agama. Ketika mempertahan agama dan kaum masing-masing, penghinaan dilakukan terhadap kaum dan agama lain sehingga mengguna kata-kata nista dan kesat sekali gus menimbulkan kemarahan dan keresahan,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Putrajaya, hari ini.

Katanya, dalam usaha memajukan negara dan rakyat, kerajaan sedang menumpukan usaha kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama dengan matlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia.

Dr Mahathir berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang 2030.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 9:05pm
d