mutakhir

Berkhemah sambut ulang tahun kemerdekaan

Oleh Malik Muhamad

PENDUDUK Kampung Kelulut dan Kampung Bukit Kemas, Marang mencipta kelainan apabila mengadakan Perkhemahan Mesra Harmoni Ambang Merdeka selama tiga hari bermula kelmarin bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara.

Perkhemahan bertemakan Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih itu diadakan di Pantai Peranginan Kelulut, membabitkan 250 peserta daripada pelbagai peringkat umur bagi memastikan matlamat mahu menerapkan nilai kemerdekaan tercapai.

Lebih menarik, mereka mendirikan 30 khemah tradisional secara bergotong-royong menggunakan daun kelapa kering dan kayu pokok gelam.

Penyelaras program, Rosdi Ibrahim berkata, perkhemahan kali kedua itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk dalam usaha meningkatkan semangat patriotik dalam diri masing-masing.

“Perkhemahan ini bertujuan menerapkan nilai patriotik dalam kalangan penduduk khususnya kepada generasi muda mengenai erti kemerdekaan sebenar.

“Selain itu, ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta menyuntik elemen kemerdekaan kali ke-62 yang seharusnya dijadikan budaya.

“Antara program diadakan adalah gotong-royong membersih kawasan pantai, solat hajat, permainan sukan tradisional Terengganu dan kibar Jalur Gemilang dengan acara kemuncak semua peserta akan menyanyikan lagu Negaraku serta melaungkan merdeka pada detik 31 Ogos nanti,” katanya.

Peserta, Halizi Abdullah, 43, berkata program sedemikian harus diadakan bagi menyemai semangat patriotik terutama dalam kalangan generasi muda apatah lagi pada zaman era globalisasi ini.

“Mereka perlu melengkapkan diri dengan semangat patriotisme tinggi selain perlu menghayati sejarah perjuangan pejuang dahulu yang bermati-matian mempertahankan negara daripada penjajah,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 9:26pm
d