mutakhir

Kaut untung mudah!

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Kaut untung mudah hasil kegiatan memalsukan jenama produk Muslimah serta menjarah jerih payah orang lain.

Itu yang berlaku apabila produk telekung keluaran syarikat terkemuka Siti Khadijah (SK) terus menjadi sasaran sindiket atau individu yang memalsukan produknya secara terancang.

Berdasarkan risikan dilakukan, pengurusan Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd (SK) mendapati beberapa kilang tekstil di Ho Chi Minh, Vietnam dijadikan lokasi strategik untuk menciplak dan menjahit telekung SK dalam skala besar.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Korporat SK, Junaidah Mohd Yusoff berkata, pihaknya mengambil inisiatif melakukan risikan beberapa kali di negara berkenaan susulan aduan dan maklumat berhubung kewujudan telekung SK palsu di pasaran.

“Hasil maklumat yang diperolehi, ada individu atau pihak tertentu akan membeli telekung model terkini SK yang baru dilancarkan sebelum dibawa ke kilang di Vietnam untuk proses memalsukannya.

“Isu jenayah hak cipta ini sudah berlarutan sejak 4 tahun lalu dan ia semakin serius kebelakangan ini,” katanya.

Menurutnya, Vietnam dijadikan pusat menghasilkan produk SK palsu berikutan kemudahan kilang jahitan, kos upah yang murah selain pusat pelbagai jenis fabrik.

“Saya sendiri terkejut... ketika penyamaran dilakukan dan mendapati wujud bukti kukuh beberapa kilang di sana menghasilkan telekung SK palsu.

“Malah, ketika tinjauan dilakukan di sekitar kawasan beli belah di Ngyuen Ah Ninh dan Ben Thanh Market, kami dapati kebanyakan premis di situ menjual telekung SK palsu.

“Rata-rata pelanggan mereka adalah dalam kalangan pelancong Malaysia yang gemar membeli belah fabrik di negara itu.

“Malah, amat memeranjatkan apabila pemeriksaan lanjut mendapati telekung tiruan SK ini menyerupai hampir 100 peratus dari segi bungkusan, beg, corak sulaman dan label yang digunakan,” katanya.

Menurutnya, apa yang membezakannya adalah fabrik yang digunakan murah berbanding fabrik SK yang berkualiti tinggi, pemakaian yang memberikan rasa sejuk serta selesa , mana kala jahitan telekung asli lebih teliti dan kemas.

“Sepanjang tinjauan dilakukan, lebih daripada 20 kedai di Ben Thanh Market, Ho Chi Minh menjual telekung SK tiruan. Malah ada antaranya dijual semurah RM35 sepasang .

“Pelancong Malaysia yang berkunjung ke Vietnam seharusnya menyedari telekung asli SK hanya dijual di butik-butik SK Malaysia, pembelian atas talian yang rasmi milik SK, Lazada dan Shopee. Untuk pasaran eksport, butik SK juga telah dibuka di Indonesia iaitu di Jakarta, Bandung, Pekan Baru dan Surabaya.

“Tindakan membeli telekung tiruan ini jelas satu perbuatan zalim kepada pengeluar jenama sebenar . Dalam masa yang sama mereka secara tidak langsung berlaku tidak adil kepada pekerja-pekerja di bahagian jahitan dan pengeluaran yang rata-ratanya terdiri daripada ibu tunggal. Perbuatan ini jelas boleh menjejaskan pendapatan SK jika isu ini tidak dibendung dari sekarang,” katanya.

Terbaru pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Muar berjaya menemui dan merampas 127 pasang telekung tiruan menggunakan jenama terkenal Siti Khadijah bernilai RM11,340 hasil serbuan di tapak ekspo di Tangkak, Johor.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 5:10am
d