mutakhir

Cukuplah tular

Oleh Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: “Cukuplah tular kisah saya di laman Facebook (FB) berhubung masalah kemiskinan yang dihadapi untuk mengelakkan timbul salah faham.

“Lagipun perbelanjaan untuk saya memasuki Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang sudah mencukupi,” kata Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 20, dari Kampung Limau Kasturi, di sini.

Dia berasa terhina apabila menerima pelbagai komen terutama perkara negatif dalam laman sosial itu berhubung dilema kemiskinan yang dihadapinya hingga pernah memohon penangguhan mendaftar masuk ke universiti itu.

Katanya, dia tidak sangka ada sesetengah individu memberi komen negatif dan dia tidak pernah berniat memohon bantuan bagi meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan).

“Saya membantu emak menjaja petai kerana ingin mengumpul duit untuk proses daftar kemasukan ke USM,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Izzat menerima sumbangan daripada Tengku Puan Temenggong Kelantan, Puan Sri Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di rumahnya di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Muhammad Izzat terpaksa menjaja petai kerana tidak cukup wang sebanyak RM1,400 bagi pendaftaran di USM pada 2 September depan.

Mengulas lanjut Muhammad Izzat berkata, dia tidak mahu menambah beban tanggungan ibu bapa yang hanya memperoleh pendapatan dengan menoreh getah dan menjaja petai.

“Saya minta rakan-rakan termasuk di FB supaya mendoakan yang terbaik untuk saya supaya cemerlang dalam pelajaran.

“Yang memberi sumbangan, saya minta halal untuk perbelanjaan saya menyambung pelajaran dan apabila berjaya saya akan bantu ibu bapa serta persekolahan adik-beradik,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 6:00am
d