mutakhir

'Meriah' malam merdeka [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KISAH janda anak tiga, ketuk pintu hampir sejam, melutut dan merayu minta dilepaskan serta pengurusan hotel tidak memberikan kerjasama antara situasi dihadapi 20 Penguat kuasa Agama Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika melaksanakan Ops Ambang Merdeka malam tadi.

Dalam operasi lebih empat jam bermula 10.30 malam hingga 3 pagi itu, 13 pasangan bukan muhrim terdiri daripada tiga warga tempatan dan 23 warga asing berusia antara 18 hingga 42 tahun ditahan selepas disyaki berkhalwat.

Sepanjang operasi di enam hotel itu, pelbagai ragam orang yang disyaki (OYDS) dilihat dengan alasan lazim diberikan antaranya tidak sempat pulang ke rumah, hanya singgah sebentar di hotel selain datang ke hotel kerana dijanjikan pasangannya akan berkahwin dalam masa terdekat.

Janda anak tiga berusia 29 tahun ditahan bersama pasangannya warga Nepal beragama Hindu berusia 31 tahun dalam bilik di sebuah hotel yang dijalankan pemeriksaan.

Wanita yang baru disahkan mahkamah bercerai Jun lalu itu mendakwa hanya datang ke hotel berkenaan untuk berehat sementara menunggu waktu perjalanan bas ke Kuala Lumpur hari ini.

Malangnya, ketika ditanya sama ada akan berkahwin dengan pasangannya yang sudah beristeri itu, wanita yang bekerja di sebuah kilang di Tebrau itu tidak pasti dengan pasangannya hanya membisu.

“Tak tahulah dia macam mana, tunggu dia,” jawabnya yang berada di dalam bilik air ketika pintu dibuka.

Pintu bilik pasangan itu dibuka menggunakan kunci atas bantuan pengurusan hotel selepas mereka ingkar arahan untuk pemeriksaan namun apabila pintu dibuka, OYDS lelaki mengunci semula pintu dari dalam sebelum dibuka semula tiga minit kemudian.

Sebelum itu, di sebuah hotel berasingan, lelaki warga Bangladesh melutut dan merayu supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya serta pasangannya wanita Indonesia.

Dakwanya, dia seorang Muslim dan sudah pasti tahu kesalahan berkhalwat sebelum mendakwa hanya berehat dengan wanita itu.

“Please (tolong), I (saya) Islam, I tak tipu, kami tidak buat apa-apa pun,” rayunya berkali-kali.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono berkata, tujuan operasi itu dijalankan kerana tidak mahu masyarakat Islam menyambut kemerdekaan dengan cara bertentangan atau bercanggah undang-undang sama ada sivil atau syariah.

“Kegembiraan sewajarnya disalurkan dengan cara yang tidak bercanggah dengan undang-undang itu sendiri.

“Kita menahan warga asing juga kerana selagi mereka Islam, mereka tertakluk dengan undang-undang kita.

“Kita turut bersimpati dengan seorang OYDS yang sudah bercerai dan ada tiga anak.

“Kita menahannya bukan hendak menganiaya sebaliknya kita jalankan tugas kerana Allah SWT untuk mencegah kemungkaran,” katanya ketika ditemui pada Ops Ambang Merdeka hari ini.

Menurutnya, sedih kerana masih ada sebahagian umat Islam menyambut merdeka dengan cara bercanggah undang-undang.

Beliau berkata, tren beberapa hotel yang masih menawarkan caj sewaan murah dengan perkhidmatan menyewa mengikut jam masih berlaku sekali gus mengundang kegiatan tidak bermoral berlaku.

“Ada beberapa hotel yang kita laksanakan penguatkuasaan ini menawarkan harga murah seperti RM90, RM50 dan ada sebahagian tawarkan servis mengikut jam, satu jam atau dua jam.

“Secara tidak langsung, kegiatan tidak bermoral ini mudah berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 1:08pm
d