mutakhir

Tak sempat jumpa anak

Oleh Nor Farhani Che Ad

BERAT dugaan wanita ini tatkala menanti masa untuk melahirkan anak namun suami yang diharap menemaninya di hospital dijemput Ilahi terlebih dulu.

Suaminya meninggal dunia selepas rebah ketika menunggu anak mereka pulang dari sekolah.

Nur Atikah Ahmad, 30, berkata, dia tidak menyangka kata-kata suaminya, Mohamad Hasni Wahab, 47, yang sering menyatakan tidak sempat menemui anak bongsu mereka menjadi kenyataan.

Mohamad Hasni yang bekerja sebagai peniaga air kelapa disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menunggu anak angkatnya, Nur Aiman Harith, 13, di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Lunas, Kulim Rabu lalu.

Nur Atikah berkata, ketika kejadian dia sudah berada di hospital bagi menunggu proses bersalin.

“Kali terakhir saya menemui arwah tengah hari sebelum kejadian ketika suami datang ke hospital menghantar makanan tengah hari dan dia sempat mengulangi perkataan sama yang dia seakan tidak sempat menemui bayi kami.

“Selepas pulang, dia hubungi saya enam kali sebelum saya mendapat perkhabaran arwah rebah di hadapan sekolah anak pada 6.30 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai kematian suami melalui ibunya pada malam sebelum bergegas pulang ke rumah untuk melihat wajah suaminya buat kali terakhir.

“Walaupun dalam keadaan sakit, saya nekad pulang ke rumah bagi melihat wajah suami buat kali terakhir sebelum pulang semula ke hospital.

“Sedih itu hanya Allah SWT saja yang tahu, tetapi demi anak-anak, saya perlu kuatkan semangat untuk menempuhi semua ini,” katanya yang bekerja sebagai kerani syarikat logistik.

Nur Atikah selamat melahirkan bayi lelaki pada 10 pagi secara pembedahan kelmarin.

Katanya, arwah suaminya sempat memberi nama bayi mereka, Nur Aiman Hafiz.

Hasil perkongsian hidup, mereka turut memiliki seorang lagi anak lelaki iaitu Nur Aiman Danish berusia setahun empat bulan.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 3:43pm
d