mutakhir

Misi Pak Nasir tercapai

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“SAYA tak sangka kami disambut dengan ribuan penonton yang menunggu kami tiba di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) malam tadi,” kata Nasir Abas.

Nasir, 64, dan rakannya, Krishnan Andy, 61, selamat tiba di SACC Walk, Selangor pada 11.50 malam tadi pada malam Ambang Merdeka sebelum menunggu detik 12 tengah malam.

Mereka kemudian diberi Sijil Penghargaan dari Malaysia Book of Record (MBOR) oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amirudin Hamzah dan wakil MBOR.

Menceritakan pengalamannya sepanjang larian 12 hari itu, Nasir berkata, dia mengalami demam kelmarin namun tetap meneruskan larian tetapi banyak berjalan.

Katanya, rakannya Krishnan pula mengalami sakit pada bahagian kaki namun tetap bersemangat untuk meneruskan larian.

“Sepanjang larian kami, ramai penduduk kampung dan pengguna lalu lintas menjerit nama kami memberi semangat malah ada juga berhenti mengambil gambar.

“Ini bukan pengalaman baru kami sebab sebelum ini pun pernah alami cuma kali ini lebih meriah berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nasir berkata, dia turut diiringi Persatuan Hoki Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Sungai Buloh, Selangor dan kumpulan konvoi motosikal berkuasa tinggi sehingga ke Shah Alam.

Menurutnya, ini larian ketujuh sempena Hari Kebangsaan dan kali keempat melakukan larian bersama Krishnan.

“Letih pun memang letih tetapi bila nampak ramai penonton menyorak dan bertepuk tangan beri semangat, saya rasa satu kepuasan.

“Namun saya akan berfikir semula sama ada untuk meneruskan larian pada masa akan datang atau sebaliknya kerana ia bergantung keadaan,” katanya.

Nasir dan Krishnan memulakan larian pada 19 Ogos lalu dari Dataran Alor Setar dan menamatkan perjalanan sejauh 540 kilometer.

Nasir yang juga pesara tentera pernah mencipta rekod melakukan larian sejauh 1,754 km menyusuri Semenanjung Malaysia dari Kelantan ke Johor dan pulang ke Kedah pada 2002 selama sebulan.

Selain itu, beliau turut mencipta rekod melakukan Larian Solo dari Tawau, Sabah ke Kuching, Sarawak pada 2003 sejauh 2,058 km selama 48 hari dan larian solo sempena kejayaan pasukan Kedah merangkul Piala Malaysia sebelum ini.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 4:06pm
d