mutakhir

Galas misi di EBC

Oleh Samadi Ahmad

SERAMAI 27 pendaki negara membawa misi mengibar Jalur Gemilang gergasi di Everest Base Camp (EBC) menerusi ekspedisi pendakian anjuran Summit Attack Resources (SAR) bermula hari ini hingga 16 September ini.

Ekspedisi berkenaan dianjurkan sempena Hari Kebangsaan Ke-62.

Ia disertai 27 pendaki termasuk pelakon drama Nur 2, Azhan Rani serta lima pengamal media terdiri wartawan Berita Harian, Zainuri Misfar dan Abdul Razak Raaff; Jurufoto Bernama, Mohd Faizol Abdul Aziz serta wartawan Kosmo, Norzasrudin Mohamed.

Majlis pelepasan peserta dan penyerahan bendera Jalur Gemilang gergasi disempurnakan Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Ketua Ekspedisi Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berkata, pihaknya menggalas cabaran untuk mengibar Jalur Gemilang gergasi setinggi enam meter dan lebar 12 meter serta berat 11 kilogram di EBC pada ketinggian 5,364 meter dari paras laut.

Beliau berkata, selain mengibarkan bendera, antara cabaran utama lain yang akan dihadapi pendaki ialah keadaan cuaca dan suhu serta risiko diserang penyakit akut gunung.

“Kami perlu mendaki bermula pada paras ketinggian 2,700 meter dari Lukhla selama 12 hari sejauh 130 kilometer (km) pergi dan balik.

“Sebagai mempromosi amalan gaya hidup sihat dan menyemarakkan sambutan kemerdekaan peserta juga akan mendaki Gunung Kala Patthar setinggi 5,545 meter,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang gergasi dan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Mohd Fakhrul yang juga Pegawai Bomba dari Akademi Bomba Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bahru berkata, peserta akan memulakan pendakian lapan hari untuk sampai ke EBC bermula 2 September ini dengan purata berjalan sejauh 15 km sehari.

“Jika cuaca baik, misi mengibar Jalur Gemilang di EBC itu akan direalisasikan pada 10 September ini.

“Setakat ini, semua pendaki sudah melakukan persiapan fizikal dan mental dengan mengadakan latihan termasuk mendaki gunung di dalam dan luar negara sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Sementara itu Lam Thye berkata, kumpulan ekspedisi yang disertai peserta pelbagai latar belakang dan usia itu perlu dijadikan model kerana mampu bekerjasama demi untuk menjayakan misi ke EBC.

Menurutnya, perpaduan dan kerjasama erat tanpa mengira latar belakang pasti memberi hasil terbaik seperti apa yang dapat dilihat dalam pembentukan Malaysia.

“Ia adalah cabaran hebat untuk dijayakan namun, saya percaya ia mampu dilaksanakan jika semua anggota ekspedisi berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa menjaga kesihatan serta keselamatan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 5:30pm
d