mutakhir

Remaja lemas di 'Tasik Biru'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

REMAJA lelaki lemas ketika mandi bersama sekumpulan remaja di sebuah kolam tadahan air dikenali ‘Tasik Biru’ dekat Jalan Kangkar Senangar, Parit Sulong, Batu Pahat hari ini.

Muhammad Naim Azman, 17, dikatakan mandi bersama lapan rakan lain di kolam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, remaja yang bersekolah di sebuah sekolah menengah di sini pergi ke kolam itu untuk mandi sebelum dilaporkan tenggelam dan hilang pada 10.20 pagi.

“Usaha mencari mangsa dilakukan pasukan bomba bersama anggota polis dari Balai Polis Parit Sulong sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Mayat mangsa ditemui di dasar kolam pada 12.15 tengah hari,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Ibnul Kasim Ahmad Abdul Hamid berkata, pihaknya menghantar empat anggota dengan sebuah jentera ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.23 pagi.

“Kita menggunakan kaedah ‘grappling iron’ dalam operasi mencari sebelum menemui mayat mangsa pada 12.15 tengah hari.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis,” katanya yang menamatkan operasi pada 1.01 petang.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 5:39pm
d