mutakhir

Buru lelaki bunuh rakan serumah

Oleh Nur Lela Zulkipli

POLIS memburu seorang lelaki warga Myanmar dipercayai terbabit dalam pembunuhan rakan serumahnya di kawasan rumah kedai di Seksyen 15, Shah Alam, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian 8 malam itu, suspek dikenali dengan nama Zawthin menikam rakan senegaranya berusia 27 tahun selepas berlaku pergaduhan kecil.

“Suspek dan mangsa tinggal serumah adalah rakan sekerja di kilang berhampiran. Pada malam kejadian, kedua-dua lelaki itu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol sebelum berlaku pergaduhan.

“Pergaduhan itu menyebabkan suspek menikam mangsa hingga isi perut mangsa terburai dan kejadian turut disaksikan penduduk sekitar,” katanya di Shah Alam, hari ini.

Baharudin berkata, sebaik pihaknya tiba di lokasi kejadian, suspek berumur 36 tahun sudah melarikan diri meninggalkan rakannya yang maut dan berlumuran darah akibat ditikam.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek mengeluarkan pisau sebelum mengejar mangsa di kawasan rumah kedai disewa pengurusan kilang untuk pekerjanya.

“Motif kejadian masih dalam siasatan memandangkan ia berlaku dalam keadaan mangsa dan suspek yang sedang mabuk.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 6:07pm
d