mutakhir

Makanan percuma hari ini

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SETIAP rakyat negara ini mempunyai cara tersendiri bagi meraikan Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun.

Begitu juga dengan peniaga di Warung Abang Leh dekat Kampung Sempering, Santan, Kangar apabila meraikan Hari Kemerdekaan dengan menyediakan roti canai, nasi lemak dan nasi ikan bawal goreng secara percuma kepada pelanggannya hari ini.

Peniaga, Khairul Othman, 40, dari Felda Rimba Mas, Padang Besar berkata, dia sememangnya berniat untuk memberikan makanan percuma kepada setiap pelanggan tanpa mengira bangsa pada Hari Kemerdekaan.

“Setiap rakyat Malaysia mempunyai cara berbeza dalam menyambut Hari Kemerdekaan, ada yang memasang bendera pada kenderaan, kediaman dan membina pelbagai replika hiasan di halaman rumah.

“Bagi saya, tiada erti kemerdekaan pada hari ini jika tidak menyumbang sesuatu kepada masyarakat disamping menunjukkan semangat rela berkorban harta demi kemakmuran negara.

“Jadi melalui pemberian makanan percuma ini, ia sebagai tanda pengorbanan saya kepada Malaysia selain sebagai salah satu cara mempromosikan kedai makan,” katanya.

Khairul berkata, dia mengeluarkan kos RM5,000 bagi menyediakan menu dan juadah pada hari ini seperti roti canai, nasi lemak, nasi bersama ikan bawal goreng dan nasi ikan keli goreng.

“Alhamdulillah, saya buka kedai seawal 7 pagi dan dalam masa tiga jam, lebih 400 keping roti canai dan nasi lemak habis dihidangkan kepada pelanggan.

“Begitu juga dengan nasi ikan bawal goreng dan nasi ikan keli goreng yang habis tidak lama kemudian kerana pelanggan tidak putus singgah ke kedai makan.

“Jadi di kesempatan ini saya mohon maaf jika ada pelanggan terpaksa dihidangkan nasi berbanding roti canai kerana menu terbabit habis dalam tempoh singkat,” katanya.

Khairul berkata, bersempena Hari Kebangsaan ke-62 tahun ini, besar harapannya untuk melihat setiap rakyat negara ini bersatu padu tanpa mengira kaum dan tidak bersengketa antara satu sama lain.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 6:45pm
d