mutakhir

Bermalam di GP sambut Merdeka

Oleh Hamzah Osman

PELUANG menginap di Galeria Perdana (GP), Langkawi sempena Program Bermalam di Muzium, semalam memberi pengalaman berharga kepada 133 pelajar sekolah menengah sekitar daerah ini.

Pelajar berusia antara 13 dan 17 tahun itu berpeluang mengambil bahagian dalam acara pentomin pada Program Aspirasi Merdeka anjuran bersama GP dan LangkawiFM di sambutan ambang Merdeka tengah malam tadi.

Pengarah GP Mohd Najib Adnan berkata, program itu sudah empat kali diadakan sejak 2016 dan pelajar menunjukkan minat tinggi terhadap pameran di GP dan gembira sepanjang acara berlangsung.

“Selama dua hari satu malam pelajar menginap di GP, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara mengenai muzium, selain mengambil bahagian dalam pelbagai acara bersifat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-62.

“Sejurus tiba detik 12 tengah malam tadi, semua pelajar terbabit yang segak memakai tanjak beramai-ramai melaungkan Merdeka sebanyak tujuh kali,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Najib berkata, pelajar dan orang awam yang berada di pekarangan GP turut dihiburkan penyanyi popular, Naim Daniel dan persembahan bunga api.

“Program bermalam di muzium ini turut membabitkan 34 muzium lain di seluruh negara bertujuan mendidik dan membentuk generasi muda berpengetahuan serta peka terhadap khazanah warisan negara.

“Pada masa sama, program ini mampu menggalakkan budaya mengunjungi muzium dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 7:22pm
d