mutakhir

Agong prihatin, titah pengiring bantu mangsa [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KEPRIHATINAN Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap rakyat memang tidak dapat dinafikan apabila baginda sanggup turun dari kenderaannya untuk memeriksa keadaan mangsa kemalangan berhampiran persimpangan USJ di Lebuhraya ELITE di Subang Jaya hari ini.

Kejadian itu dikongsi Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi akaun Instagram kira-kira 6 petang tadi.

Berdasarkan perkongsian itu, baginda dilaporkan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri program ‘Anak-anak Malaysia Walk 2019’ di Eco Ardence di Setia Alam, Selangor.

Difahamkan, seorang wanita dilaporkan cedera ringan apabila kenderaannya terbabas dan terbalik di laluan kanan lebuh raya itu.

Menerusi perkongsian itu juga, baginda menitahkan polis pengiring menghantar mangsa ke hospital untuk menerima rawatan.

Pada Jun lalu, baginda turut membantu mangsa kemalangan di Putrajaya ketika dalam perjalanan menghadiri Mesyuarat Pra-Kabinet dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 9:40pm
d