mutakhir

Video pemandu kereta diserang disiasat

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS akan melakukan siasatan lanjut berhubung video tular kejadian serangan sekumpulan penunggang motosikal terhadap seorang pemandu kereta di Kilometer 4.5 Jalan Skudai-Pantai Lido arah Skudai di Johor Bahru pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan mendapati kejadian pada 3.41 pagi membabitkan pemandu lelaki berusia 22 tahun.

“Akibat dipukul dalam kejadian itu, pemandu kereta berkenaan mengalami luka kecil di tangan kanan.

“Sehubungan itu, kes yang tular itu akan disiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, polis memang ada menerima laporan berhubung satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk dua kereta dan sebuah motosikal di kawasan terbabit.

“Siasatan awal dapati kemalangan berlaku apabila kereta Volkswagen Jetta 1.4 dipandu mangsa di laluan kanan dari arah Stulang menghala ke Gelang Patah terlanggar bahagian belakang sebuah Perodua Aruz.

“Kejadian itu dipercayai berlaku apabila Perodua Aruz berkenaan secara tiba-tiba masuk ke laluan kanan dari laluan tengah.

“Keadaan itu menyebabkan kereta mangsa tidak sempat mengelak lalu sebelum belakang Perodua Aruz yang dipandu lelaki berusia 28 tahun,” katanya.

Menurutnya, pemandu Volkswagen Jetta 1.4 terbabit kemudiannya berhenti di tepi jalan dan keluar dari kenderaannya sebelum tiba-tiba beberapa orang awam mengerumuninya.

“Mereka kemudian memukul dan mengetuk kenderaan mangsa hingga menyebabkannya masuk ke dalam kereta dan berundur sebelum terlanggar sebuah motosikal di belakangnya.

“Pemandu Perodua Aruz dan penunggang motosikal Modenas Dinamik berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, video berdurasi pendek membabitkan kejadian beberapa orang menyerang seorang pemandu kereta di Jalan Lido.

Video berkenaan juga menunjukkan beberapa penunggang motosikal bertindak agresif terhadap pemandu kereta menyebabkan mangsa cuba mengundurkan keretanya untuk melarikan diri.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 10:06pm
d