mutakhir

Kegembiraan berganda

Oleh Nur Lela Zulkipli

“HARI ini (semalam) adalah hari paling bermakna buat saya dan suami kerana dapat menyambut cahaya mata sulung serta hari ulang tahun perkahwinan pertama kami,” kata Norhafina Aspar, 27.

Dia dan suami, Khairul Azlan Miswan, 30, tidak menyangka bayi lelaki bakal dinamakan Eijaz Yusof itu lahir pada Hari Kebangsaan.

“Sepatutnya bayi saya lahir pada 24 Ogos lalu, namun sehingga semalam (kelmarin) tiada petanda awal untuk saya bersalin.

“Jadi, saya hanya menunggu saja dan tidak sangka bayi mahu keluar hari ini (semalam).

“Lebih menggembirakan, hari ini (semalam) ulang tahun perkahwinan pertama kami dan ini adalah hadiah amat bermakna,” katanya di Wad Bersalin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, semalam.

Norhafina melahirkan bayi lelaki seberat 2.8 (kg) kilogram jam 4.39 pagi semalam.

Sementara itu, bagi G Parameswary, 34, bunyi mercun dan bunga api sempena sambutan Hari Kebangsaan tepat jam 12 tengah malam kelmarin, menjadi kenangan terindah dirinya.

Katanya, ketika letupan mercun yang pertama, dia mendapati air ketuban pecah sekali gus menjadi petanda baginya melahirkan anak sulung itu.

“Rumah saya berhampiran Kompleks Sukan Pandamaran dan ada sambutan Hari Kebangsaan malam tadi (kelmarin).

“Ketika dengar letupan pertama itu, saya terasa basah dan lihat banyak air bercampur darah keluar.

“Memandangkan ini kelahiran pertama, saya terus mendapatkan ibu sebelum dihantar ke HTAR,” katanya yang melahirkan bayi perempuan seberat 2.8kg jam 1.20 pagi semalam.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim ketika dihubungi di sini, berkata sejak awal pagi semalam seramai 56 bayi dilahirkan sempena Hari Kebangsaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 21 bayi lelaki manakala 35 lagi perempuan,” katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 6:31am
d