mutakhir

Pencuri kubur mengganas

Oleh Erika George

LIMA kubur di Tanah Perkuburan Roman Katolik di Jalan Tanjung Batu, Bintulu diselongkar serta dirosakkan individu tidak bertanggungjawab semalam.

Kejadian disedari waris keluarga yang menziarah kubur ahli keluarga mereka yang disemadikan di kawasan perkuburan itu 12 tengah hari semalam.

Waris, Lynn Tudey, 20, berkata, dia bersama ahli keluarga terkejut apabila mendapati kubur nenek dan datuknya dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

“Kubur nenek saya dipecahkan di bahagian tepi dan kami percaya ia ingin diceroboh tetapi si pelaku tidak sempat berbuat demikian manakala kubur datuk saya pula dirosakkan pada bahagian penanda kubur,” katanya.

Menurutnya, sebuah lagi kubur bersebelahan dengan kubur neneknya sudah diselongkar oleh penceroboh kubur itu namun tidak pasti apa yang diambil dari dalam kubur berkenaan.

“Saya percaya masih ada lagi kubur diceroboh di kawasan perkuburan ini, justeru saya berharap waris membuat pemeriksaan ke atas kubur ahli keluarga masing-masing, ” katanya.

Difahamkan, pencerobohan kubur di tanah perkuburan itu dilaporkan pada November 2017.

Januari lalu dilaporkan kejadian pencerobohan kubur di Tanah Perkuburan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan 10 kubur dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 3:23pm
d