mutakhir

200 penumpang terawal 'bas mini'

Oleh BERNAMA

PROJEK eksperimen bas lapan meter di laluan T300 antara hab Ampang Point dan Bukit Indah, Ampang yang bermula hari ini, menyaksikan purata 10 penumpang bagi setiap perjalanan.

Kenyataan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini menyebut, sehingga 12 tengah hari, sebanyak 21 perjalanan dijalankan bermula 5.30 pagi dengan tiga bas beroperasi dan kira-kira 200 penumpang menaikinya selepas enam jam perkhidmatan.

“Jumlah penumpang, bagaimanapun, dijangka meningkat pada Selasa ini (3 Sept) apabila sekolah dibuka semula dan orang ramai mula bekerja selepas cuti tiga hari kerana cuti am Hari Kemerdekaan semalam dan sambutan Maal Hijrah hari ini,” menurut kenyataan itu.

Projek eksperimen laluan bas T300 menggunakan bas lapan meter itu akan berlangsung selama tiga bulan, juga bagi memantapkan lagi perjalanan ‘first mile, last mile’ dengan perkhidmatan harian berakhir pada 11.40 malam.

“Sebelum ini laluan T300 menggunakan dua bas biasa, iaitu bas 12 meter, untuk laluan sepanjang 11 kilometer dengan purata 800 penumpang sehari dan 24,000 penumpang sebulan.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha Prasarana dan anak syarikatnya, Rapid Bus dalam program transformasi sistem pengangkutan awam negara bagi menyediakan perkhidmatan berkelas dunia,” jelas kenyataan itu.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 4:08pm
d