mutakhir

Ainul ada rawatan susulan lagi

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

BAYI kesayangan ramai, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin perlu menjalani beberapa rawatan susulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata, keadaan anaknya itu yang ketika ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semakin menunjukkan perkembangan positif.

“Alhamdulillah keadaan Ainul makin baik. Cuma masih ada beberapa rawatan susulan yang perlu dilakukan sebelum balik ke rumah,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Safiuddin berkata, berat terkini Ainul yang sudah berusia setahun adalah 3.8 kilogram (kg) berbanding hanya 2.5 kg ketika tiba di London untuk pembedahan, Jun lalu.

Katanya, Ainul turut menjalani rawatan fisio termasuk menggunakan kerusi khas.

“Kerusi khas itu digunakan ketika rawatan fisio. Ia bagi menguatkan tengkuk Ainul dan dia kelihatan selesa menggunakannya,” katanya.

Pada 10 Jun lalu, Ainul Mardhiah yang menghidap kanser ‘Germ Cell Tumour’ selamat dibedah di sebuah hospital di London oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Ketumbuhan pada mulut Ainul Mardhiah mula membesar sejak dilahirkan hingga mencapai berat 200 gram sebelum berjaya dibuang.

Selepas lebih dua bulan dirawat di London, Ainul pulang ke Malaysia 28 Julai lalu dan kini menyambung rawatan di HKL.

Kisah Ainul Mardhiah bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi, baru-baru ini.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 5:20pm
    d